03 Jul 2017

BERITA GLOBAL

 

Saman fitnah: Mahkamah tolak permohonan Maybank, kekal imuniti NUBE – FMT Reporters

Saman fitnah: Mahkamah tolak permohonan Maybank, kekal imuniti NUBE – FMT Reporters July 3, 2017

PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kebenaran Maybank untuk mengemukakan rayuan, sekali gus memutuskan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan para pegawainya mempunyai imuniti daripada saman fitnah di bawah Akta Kesatuan Sekerja.

Panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif, sebulat suara mengetepikan kesemua 5 permohonan Maybank dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, yang diputuskan pada Ogos 2016.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan hari ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Permohonan ditolak dengan kos RM20,000.

Keputusan sebulat suara itu menekankan peruntukan Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 membolehkan NUBE dan para ahlinya dikecualikan daripada liabiliti tort fitnah.

Seksyen itu menyebut “suatu guaman terhadap kesatuan sekerja atau mana-mana anggota atau pegawainya, bagi pihak diri mereka dan semua ahli-ahli lain kesatuan sekerja itu berkenaan dengan sesuatu tort yang dikatakan telah dilakukan oleh atau bagi pihak kesatuan sekerja tidak akan dilayan oleh mana-mana mahkamah”.

Maybank memfailkan 5 permohonan berasingan bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap kesemua 5 keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan pada 10 Ogos 2016.

Saman fitnah dibawa Maybank terhadap NUBE dan para pegawainya berhubung penerbitan risalah dan 2 artikel di laman web kesatuan.

Dalam keputusan diputuskan Mahkamah Rayuan pada 10 ogos 2016, Maybank kalah dalam kesemua 5 saman fitnah terhadap NUBE yang sebulat suara memutuskan bahawa Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 memberikan pengecualian mutlak liabiliti tort fitnah.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu dibuat oleh panel 3 hakim diketuai Hakim Lim Yee Lan, dengan Hakim Varghese George Varughese dan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal.

Saman difailkan secara berasingan terhadap pegawai NUBE iaitu Mohd Faisal Hussin, Nur Rasidah Jamaludin, Sharifuddin Hassan dan Sethupathy Thiaganaian di Mahkamah Tinggi di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bank juga memfailkan saman lain terhadap Solomon di Kuala Lumpur.

Maybank menang dalam saman terhadap Faisal, Nur Rasidah dan Sharifuddin dan dianugerahkan ganti rugi oleh Mahkamah Tinggi di antara RM30,000 hingga RM100,000. Ia kalah dalam kes terhadap Sethupathy dan Solomon.

Bagaimanapun, mereka yang kehilangan kes memfailkan rayuan dan rayuan didengar bersama pada 10 Ogos 2016.

Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini kerana ia menjamin hak asas kesatuan dan pekerja dalam melindungi kepentingan mereka.

Malah menurut Solomon, ia merupakan 1 keputusan penting bagi pembangunan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini, untuk berfungsi secara bebas tanpa rasa takut.

“Keputusan ini adalah pengesahan semula yang positif bagi kesatuan sekerja di negara ini dan kebebasan mereka untuk berjuang demi keadilan bagi ahlinya, para pekerja dan institusi serta kepentingan negara pada keseluruhannya,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kenyataan itu menambah, NUBE dan para pegawainya diwakili Datuk Ambiga Sreenevasan dan Alex De Silva manakala Tan Sri Cecil Abraham, Datuk Thavalingam Thavarajah, S Rutheran dan Sunil Abraham bertindak bagi pihak Maybank.

http://www.freemalaysiatoday.com/…/saman-fitnah-mahkamah-t…/

 

 

Likes Comments

 

To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now

 

 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my