NUBE MENGGESA HSBC BANK MALAYSIA BERHENTI DARIPADA MENGHAPUSKAN KOMUNITI B40 DAN M40
*KENYATAAN MEDIA KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE)*
*2 JULAI 2021*
*NUBE MENGGESA HSBC BANK MALAYSIA BERHENTI DARIPADA MENGHAPUSKAN KOMUNITI B40 DAN M40*
Segala kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh NUBE selama ini termasuk dalam surat-surat yang dihantar kepada YAB Perdana Menteri, YB Menteri Sumber Manusia, Gabenor Bank Negara dan YB Menteri Kewangan sejak November 2020, berlaku pada hari ini.
Kes yang paling jelas adalah pelaksanaan pembuangan pekerja atas alasan atau atas nama VSS dan MSS oleh HSBC Bank Malaysia, yang merupakan kali ketiga dalam enam tahun ini.
Skim itu telah diumumkan kepada pekerja-pekerja Bank pada 3 Jun 2021 lalu, iaitu ketika rakyat berhadapan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
NUBE dari awal lagi sudah mengesan taktik-taktik kotor yang digunakan oleh HSBC Bank Malaysia untuk membuang dan menghentikan pekerja, terutama mereka dari Kumpulan B40 dan M40 atas alasan penyusunan semula operasi dan memperkenalkan sumber keluar (out source) perkhidmatan-perkhidmatan tertentu. Mereka sudah melakukan dua kali sebelum ini, dan melakukan sekali lagi sekarang hanya mendiskriminasi B40 dan M40 dengan tujuan untuk menghapuskan komuniti B40 dan M40 dari bank.
Lagi teruk, kali ini sebanyak 13 cawangan termasuk tujuh cawangan konvensional di seluruh negara akan ditutup, di mana penduduk di kawasan pinggir bakal kehilangan perkhidmatan perbankan yang dekat dengan mereka. Kesemua tujuh cawangan di Semenanjung Malaysia berada di pinggir bandar.
Kami membantah kerana tindakan HSBC Bank Malaysia bukan sahaja menyusahkan para pekerja terbabit, malah para pelanggan yang setia bersama HSBC selama ini.
Tindakan HSBC ini akan membawa kepada lebih 600 pekerja B40 dan M40 dihentikan. Menutup cawangan bermakna pekerja-pekerja akan kehilangan peluang pekerjaan tetap. Ada sebahagian kerja tetap di peringkat ibu pejabat disumber keluar kepada syarikat lain dan negara-negara lain.
Malah, tindakan Bank itu secara langsung mahu menghapuskan periuk nasi rakyat Malaysia dan membunuh komuniti kesatuan sekerja untuk B40 and M40 di Malaysia.
HSBC Bank Malaysia menawarkan VSS dan MSS kepada pekerja-pekerja di cawangan yang ditutup dan kepada pekerja-pekerja di ibu pejabat atas nama penstrukturan semula operasi.
VSS dan MSS HSBC Bank Malaysia pada kali ini, diumumkan kepada pekerja-pekerja Bank pada 3 Jun 2021 lalu, dimaklumkan bahawa pelaksanaan skim-skim itu turut telah mendapat kebenaran Jabatan Tenaga Buruh, Kementerian Sumber Manusia.
Untuk rekod, NUBE telah membantah tindakan seperti ini dalam dua pelaksanaan oleh pihak HSBC sebelum ini. Langkah yang sama diambil pada kali ini.
Pada hari ketiga 'lockdown' total, pengurusan HSBC telah memaklumkan hanya mengadakan taklimat pelaksanaan VSS dan MSS meskipun NUBE telah meminta HSBC supaya menangguhkan pengumuman pelaksanaan VSS dan MSS sementara menunggu hasil rundingan menurut peruntukan CA yang belum dimulakan lagi. Bagaimanapun pengurusan HSBC terus bersikap degil untuk meneruskan pengumuman mereka.
NUBE membantah sebab HSBC tiada alasan ekonomi yang kukuh untuk membuang pekerja dan menutup cawangan.
HSBC Bank Malaysia merupakan bank multinasional yang terus mencatat keuntungan. Bank itu tidak ada sebab untuk menutup dan menawarkan VSS dan MSS, sekali gus membuang pekerja sama sekali.
Pada pandangan kami, HSBC Bank Malaysia sepatutnya menawarkan program latihan semula untuk diletakkan di bahagian-bahagian baharu, bukannya menawarkan skim VSS dan MSS yang merupakan satu bentuk penindasan ke atas pekerja.
Kami juga membantah kerana sesetengah pengurus bawahan mengugut supaya pekerja-pekerja dan ahli-ahli NUBE menerima skim VSS dan MSS yang ditawarkan. Ini bukan cara memperlakukan para pekerja. Bank bertindak bertentangan dengan semangat undang-undang buruh dan obligasi kontraktual antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia.
Meskipun NUBE telah menulis surat dan membawa perkara yang sama kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia , Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, tetapi tidak ada sebarang tindakan bagi mengelakkan tindakan menganiayai pekerja terutama dengan pelaksanaan VSS dan MSS, serta pelaksanaan strategi sumber keluar perkhidmatan tertentu, yang menghilangkan peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja tetap rakyat tempatan. Fungsi pekerja-pekerja tetap pula diberikan kepada pekerja-pekerja informal dan luar negara.
Pihak berkuasa seperti Kementerian Sumber Manusia, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan seharusnya bertindak menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja tetap dan formal di Malaysia, bukannya memberi kelulusan ke atas permintaan dan permohonan pihak syarikat, pelabur dan kapitalis secara sembarangan atas kos pekerja.
Sepatutnya Kementerian Sumber Manusia melaksanakan fungsi fidusiari mereka bagi menyelamatkan setiap pekerja dalam keadaan seperti yang diperlakukan oleh HSBC Bank Malaysia. Kementerian Sumber Manusia sepatutnya bertindak tegas agar tidak ada majikan yang sanggup melakukan perkara yang sama ke atas para pekerja di negara ini. Kementerian Sumber Manusia tidak wajar memberi kelulusan kepada HSBC Bank Malaysia untuk menghentikan pekerja, sebaliknya harus mengarahkan mereka menyediakan latihan semula dan peningkatan kemahiran ketika pihak Bank terus membuat keuntungan dan mengarahkan mereka supaya berunding dengan NUBE kerana mereka adalah satu-satunya badan perundingan bagi pekerja. Kementerian dengan sengaja membiarkan B40 dan M40 Malaysia dieksploitasi oleh HSBC Bank Malaysia.
Tindakan-tindakan yang diambil oleh HSBC Bank Malaysia bertentangan dengan Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perusahaan, Perjanjian Kolektif antara NUBE dan HSBC, Kod Tatalaku Perhubungan Perusahaan, Hak Asasi Manusia, Standard Buruh Antarabangsa serta nasihat YAB Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong agar mengelak dari membuang pekerja ketika pandemik. HSBC Bank Malaysia menunjukkan rasa tidak hormat kepada Raja dan Perdana Menteri, manakala pihak berkuasa masih belum mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HSBC Bank Malaysia kerana mengkhianati pekerja.
NUBE berharap pegawai-pegawai Kementerian terbabit tidak mengikut kehendak HSBC Bank Malaysia dan mengkhianati Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya perlu memperlihatkan pendirian proaktif dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja di negara.
Kami mengalu-alukan kedatangan pelabur dan pelaburan, tetapi kita tidak wajar menggadai nasib pekerja tempatan ketika pihak korporat membuat keuntungan besar. Ketegasan Kerajaan adalah amat penting ketika kita sama-sama berhadapan dengan impak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP 3.0.
NUBE akan menghalang HSBC Bank Malaysia daripada melakukan segala bentuk tindakan pemberhentian pekerja, penyumberan luar, penutupan cawangan bank dan pengkhianatan kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
NUBE tidak mahu ada mana-mana bank mengikut cara dan mengambil tindakan yang dilakukan oleh HSBC Bank Malaysia.
*J SOLOMON*
*SETIAUSAHA AGUNG NUBE*
Likes Comments
To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now