20 Sep 2021

KENYATAAN MEDIA

 

KENYATAAN MEDIA

OECD UK NATIONAL CONTACT POINT (UK NCP) TELAH MENERIMA ADUAN YANG DIFAILKAN OLEH NUBE DAN UNI GLOBAL UNION TENTANG TINDAKAN TIDAK ADIL HSBC BANK MALAYSIA KE ATAS PEKERJA-PEKERJA BANK, DAN MEMUTUSKAN BAHAWA ADA MERIT UNTUK MENDENGAR SECARA MENDALAM ADUAN YANG DIFAILKAN

Berikutan tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad terhadap pekerja-pekerja bank, kegagalannya untuk menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif yang telah ditandatangani di Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dengan sokongan UNI Global Union telah memfailkan aduan secara rasmi mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad, anak syarikat HSBC Holdings Plc, sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain, di UK National Contact Point (UK NCP) bagi Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional pada bulan Disember 2020.

UK NCP, dalam kenyataan mengenai keputusan mereka, yang dikeluarkan pada 15 September 2021 lalu, mengatakan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk menerima beberapa aduan yang difailkan oleh NUBE dan UNI Global Union mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad sebagai yang sah, dan aduan akan dibawa ke peringkat siasatan selanjutnya atau untuk proses mediasi.

Dalam aduan tersebut, NUBE dan UNI Global Union menegaskan bahawa HSBC Bank Malaysia Berhad telah melanggar artikel tertentu, termasuk di bawah Bab V Garis Panduan (Hubungan Pekerjaan dan Industri), dengan:

(i) sengaja melewatkan rundingan semasa proses perundingan bersama;

(ii) mengganggu dan menjadikan ahli-ahli NUBE dan wakil kesatuan sebagai mangsa kerana penyertaan mereka dalam tindakan perhubungan perusahaan yang diambil sebagai tindak balas ekoran kegagalan dalam proses rundingan;

(iii) menghalang wakil kesatuan sekerja daripada memasuki tempat kerja di HSBC Bank Malaysia Berhad untuk tujuan bertemu dengan ahli-ahli kesatuan sekerja;

(iv) telah gagal mengambil bahagian dalam proses penyelesaian sengketa dengan NUBE dengan sewajarnya;

(v) melakukan proses penyumberan keluar kerja termasuk "memaksa" VSS/MSS dan gagal berunding dengan NUBE sebelum proses ini dilaksanakan, dan

(vi) menafikan akses kepada ahli-ahli NUBE dan pekerja ke ruang kerja dan pekerjaan mereka.

Dalam keputusannya, UK NCP telah memutuskan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan oleh pengadu (NUBE dan UNI Global Union) ada merit untuk diperiksa dengan lebih lanjut.

Menurut UK NCP, keputusan pengaduan untuk meneruskan mediasi atau pemeriksaan lebih lanjut, didasarkan pada penilaian awal yang dibuat berdasarkan maklumat yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat.

NUBE menyambut baik keputusan yang secara langsung menunjukkan bahawa ada asas yang kuat dalam aduan yang dikemukakan kepada UK NCP. NUBE dan UNI Global Union akan memberikan kerjasama susulan kepada UK NCP, oleh itu, kami optimis bahawa keputusan positif dan membina akan dicapai demi kepentingan terbaik ahli-ahli NUBE dan para pekerja bank di Malaysia.

Untuk rekod, NUBE terpaksa mengemukakan masalah ini kepada UK NCP kerana pihak berkuasa tempatan termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia telah gagal membantu mencari penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.

NUBE berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh UNI Global Union dan pertimbangan sewajarnya yang telah diberikan oleh UK NCP dalam menyiasat aduan kami, dan keputusannya untuk meneruskan tindakan bagi mencari penyelesaian.

 

J SOLOMON

SETIAUSAHA AGUNG

KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE)

19 SEPTEMBER 2021

 

 

Likes Comments

 

To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now

 

 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my