Citibank tamak, abaikan hak para pekerjanya – NUBE
SIKAP Citibank yang memutuskan untuk menjual Operasi Perniagaan Penggunanya pada 2021 sebagai usaha penyegaran strategi tanpa menghiraukan atau menghormati hak para pekerja, disifatkan sebagai tamak dan tidak berterima kasih kepada golongan berkenaan.
Citibank juga selama ini ‘menyamar’ sebagai majikan yang prihatin dengan motonya: “Kami percaya dalam melakukan perkara yang betul”, telah mengkhianati pelanggan dan pekerja Malaysia, kata Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) Malaysia, J. Solomon (gambar bawah, kanan).
“Selepas menjana kekayaan Malaysia sejak 63 tahun lalu daripada pelanggan-pelanggan Malaysia, Citibank juga telah memindahkan hasil jualan ke luar negara sambil meninggalkan pekerja-pekerja Perniagaan Perbankan Pengguna.
“Pekerja-pekerja Malaysia yang telah berusaha bersungguh-sungguh hati dan jiwa untuk membolehkan Citibank berterusan menjana keuntungan selama 63 tahun lalu, telah diabaikan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
“Di Korea Selatan, Citibank telah mengalami kerugian berterusan dan apabila perniagaannya terpaksa ditutup kerana tiada pihak yang berminat mengambil alih, pekerja-pekerja bank menerima gaji pemberhentian kerja selama tujuh tahun daripada 100% gaji dan manfaat lain.
“Sebaliknya, selepas mengaut keuntungan selama 63 tahun di Malaysia, tidak seorang pun pekerja menerima hasil jualan (kecuali penempatan semula) apabila Perniagaan Perbankan Pengguna Citibank dijual kepada bank lain.
“Ciri sama dalam kedua-dua pekerja Citibank di Korea Selatan dan Malaysia ialah kedua-duanya ditamatkan perkhidmatan,” ujar beliau.
Solomon menambah, NUBE dengan tegas telah berunding dan meminta Citibank memperuntukkan sebahagian yang munasabah dan saksama daripada hasil jualan tersebut kerana para pekerja telah membanting tulang dan setia kepada majikan itu malah menjadi pemangkin kepada keuntungan bank berkenaan.
“Alasan Citibank ialah dasar dan undang-undang perbankan Malaysia tidak setaraf dengan perundangan perbankan Korea Selatan,” katanya.
Justeru NUBE katanya, menggesa Bank Negara dan Kementerian Kewangan bertindak segera dan tegas untuk menghalang pelabur asing seperti Citibank ini daripada membawa keluar kekayaan yang dijana di Malaysia oleh rakyatnya tanpa diagihkan secara saksama dan bermaruah kepada para pekerjanya. – BebasNews
Likes Comments
To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now