They Don't Care About Us !
They Don't Care About Us:
Ditipu Demi Target Jualan Pengurus
Nama: Bro Mazuwan Khan B. Muzaffar Dad
Jawatan: IRC-Chairman – UOB Ponderosa, JB
Mahligai yang indah memang menjadi impian setiap pekerja. Saya, sebagai pekerja di sebuah bank di bandar besar seperti Johor Bahru, juga mengidamkan sebuah rumah untuk berlindung dari hujan dan panas.
Pada bulan Ogos 2022, saya membuat permohonan pinjaman perumahan untuk kakitangan bank. Tanpa membuang masa, Pengurus cawangan segera menguruskan proses pinjaman tersebut. Namun, beliau meminta saya meletakkan nama ibu saya di geran rumah dengan alasan gaji saya tidak mencukupi untuk menanggung bayaran ansuran.
Setelah pinjaman diluluskan, saya mula merasa ragu-ragu. Mengapa ansuran bulanan saya terlalu tinggi, RM2,238-00 sebulan dari Sept 2022 hingga Sept 2023, seperti ansuran bulanan pelanggan biasa? Pada tahun 2023, Perjanjian Bersama ke-19 telah menukar kadar pinjaman perumahan untuk ahli NUBE ke 0% untuk RM300,000-00 pertama, tetapi ansuran bulanan saya masih sama, tiada perubahan.
Saya bertanya kepada Pengurus cawangan tentang masalah ini. Beliau menjawab bahawa pinjaman saya telah diproses mengikut kadar pelanggan biasa, bukan kadar kakitangan bank. Saya bertanya mengapa berlaku kesilapan besar ini. Pengurus cawangan menjawab bahawa gaji saya tidak boleh menampung ansuran bulanan pinjaman perumahan kakitangan, dan hanya boleh diproses untuk kadar pelanggan biasa kerana nama ibu saya ada dalam geran.
Saya berbincang dengan AJK SMJ tentang kes ini dan disuruh merujuk kepada Sis. Evelyn kerana beliau sangat fasih dalam bab pengiraan. Sis. Evelyn mendengar dan mengkaji kes saya, dan membuka mata saya apabila diberitahu bahawa RM300k kadar 0% akan mengurangkan ansuran sebanyak RM1,000-00 sebulan.
Ini merupakan kerugian besar bagi saya yang telah berkhidmat selama 19 tahun di bank yang sama. Alasan yang diberi oleh Pengurus cawangan sememangnya menipu saya kerana saya hanya seorang Messenger.
Sis. Evelyn menolong membawa kes saya kepada Head Corporate HR semasa mengendalikan satu kes peringkat cawangan. Selepas beberapa minggu, pinjaman perumahan saya ditukar kepada kadar kakitangan bank bermula bulan Okt 2023. Ansuran saya menjadi RM1,183-00 sehingga Dis 2023, dengan pengurangan sebanyak RM1,055.00 sebulan.
Saya tidak dapat bayangkan jika saya tidak merujuk kes ini kepada NUBE SMJ, saya akan membayar RM405,120-00 berlebihan untuk 32 tahun lagi mengikut kadar pelanggan.
Barulah saya tahu bahawa Pengurus cawangan mahu mencapai target pinjaman untuk kepentingan peribadinya. Saya dijadikan mangsa untuk mencapai sales targetnya. Jika tidak ada pertolongan NUBE-SMJ, saya akan terus diperbodohkan oleh Pengurus cawangan dan membayar wang sia-sia untuk pinjaman perumahan saya. Terima kasih kepada SMJ, terutama Sis. Evelyn, kerana telah membantu menyelesaikan kekusutan saya.
#NUBEMalaysia #HakPekerja #TheyDontCareAboutUs #Solidariti #KeadilanPekerja #PinjamanPerumahan #PerjuanganPekerja
Likes Comments
To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now