31 Aug 2022

BERITA NASIONAL

 

PIKET KEBANGSAAN FASA KELIMA: DENGAN 300 PERTIKAIAN PERUSAHAN TIDAK DISELESAIKAN, HSBC BANK MALAYSIA TERUS BERDEGIL DENGAN DASAR MENINDAS AHLI-AHLI NUBE 32

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) terpaksa mengadakan piket kebangsaan, fasa kelima hari ini, bagi membantah tindakan HSBC Bank Malaysia yang masih degil dalam meneruskan penindasan dan menganiayai ke atas ahli-ahli NUBE yang merupakan kalangan B40 dan M40.
 


Piket kali ini berlangsung di pekarangan HSBC Bank Malaysia Cawangan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

HSBC Bank Malaysia bukan sahaja tidak mahu menyelesaikan 300 aduan industri yang telah difailkan oleh ahli-ahli NUBE sejak tahun 2019, tetapi meneruskan sikap yang bercanggah dengan amalan perhubungan perusahaan dengan bertindak tidak adil ke atas ahli-ahli NUBE dan menafikan hak mereka. Aduan pertikaian perusahaan ke atas HSBC Bank Malaysia meningkat sejak kesedaran di kalangan ahli NUBE tersebar dengan piket kebangsaan yang bermula awal Mac 2022.
 
Malah, kelewatan pelarasan gaji dan keengganan mahu memuktamadkan Perjanjian Kolektif (CA) sejak dua tahun lalu, dengan sendiri menunjukkan HSBC Bank Malaysia dengan sengaja menganiaya ahli-ahli NUBE dari segi ekonomi dan sara hidup mereka, selain mengabaikan penyelesaian isu-isu tertunggak.
 
NUBE mendapati sikap degil dan angkuh HSBC Bank Malaysia berterusan seolah-olah tiada undang-undang yang boleh mengawal tindak-tanduk mereka. Kerajaan Keluarga Malaysia juga tidak mahu campur tangan meskipun memorandum berkaitan telah diserahkan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Julai lalu.
 
NUBE masih berharap pihak berkuasa akan bertindak dengan segera untuk menghentikan dasar tidak perikemanusiaan HSBC Bank Malaysia.
 
Untuk rekod, ini kali pertama NUBE berhadapan sebuah Bank antarabangsa HSBC Bank yang tidak mahu menyelesaikan lebih 300 pertikaian perusahaan. Ia juga merupakan rekod pertikaian dalam sejarah kesatuan sekerja di Malaysia.
 
NUBE terpaksa mengambil tindakan berpiket fasa kelima memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia yang dipegang oleh seorang rakyat Malaysia buat julung kali tidak mahu mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Kolektif. Sikap buruk HSBC Bank Malaysia ini menunjukkan Bank ini tidak jujur dan ikhlas dalam isu pekerja, sebaliknya mahu melengah-lengahkan proses dialog sosial sejak tahun 2019.
 
NUBE akan terus mengadakan piket sehingga kesemua isu melibatkan HSBC Bank Malaysia diselesaikan, dan hak pekerja kumpulan B40 dan M40 dihormati dan dipertahankan.

NUBE akan terus menuntut agar ahli-ahli kami “dimerdekakan” dan “dibebaskan” daripada diskriminasi, penindasan dan penganiayaan HSBC Bank Berhad, bank milik British, yang masih beroperasi di Malaysia.


A. KARUNA
SETIAUSAHA KEHORMAT NUBE CAWANGAN KUALA LUMPUR, SELANGOR & PAHANG (KLSP)
merangkap
TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG
KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE)

 

 

Likes Comments

 

To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now

 

 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my